Wednesday, March 02, 2011

Crossing the bridge first

Semasa hendak membuat keputusan ke UK, macam-macam perkara yg kami ambil kira..seperti macam mana kalau seniority hilang, macam mana kalau tak sambung belajar dua-dua...tapi apabila surat tawaran ke UK datang, suami saya kata, insyaAllah ada hikmahnya dan untuk sekarang kita seberang jambatan ini dulu ( 'cross the bridge first'). Itulah yang kami lakukan.

Kita memang tidak dapat meramal masa hadapan, kita hanya mampu merancang.

Kalau kita berasa takut dengan satu benda yang besar di hadapan kita, kita seberang dulu jambatan berdekatan kita.

Dan InsyaAllah, semuanya disandarkan kepada Allah s.w.t.

Hari ini saya telah menyeberangi satu jambatan. Saya telah membuat pembentangan penyelidikan saya di dalam seminar PhD. Seminar ini diadakan setiap dua minggu. Dan pada setiap dua minggu kami akan mengucapkan selamat maju jaya kepada pembentang. Biasanya yang membentang akan terus melangkah ke peringkat seterusnya samada untuk tujuan penaiktarafan status pelajar atau viva. Dan pada setiap dua minggu itu saya membayangkan diri saya di tempat pembentang.

DSC_0783

Dengan hati yang tekad saya menetapkan tarikh saya untuk pembentangan sebulan awal. Saya tahu saya tidak akan bersedia jika tarikh tidak ditentukan. Kawan saya dari Iran yang daftar sbg pelajar lebih awal dari saya mengucapkan terima kasih kerana dia juga telah mendapat semangat untuk menetapkan tarikh selepas melihat saya berbuat demikian. Bagus juga kerana saya ada kawan untuk sama-sama memberikan motivasi. Dan itulah yang berlaku dalam masa sebulan itu. Kami pastikan kami berjumpa dengan kedua-dua penyelia kami dan kami bertukar-tukar pandangan mengenai penyelidikan masing-masing. Saya telah membuat pembentangan olok-olok dan dirakamkan, dia juga melakukannya, malahan dia telah sempat menjemput kawan-kawan lain dari pusat lain yang telah memberikan maklumbalas yang sangat bernas. Saya tidak sempat berbuat demikian.

Hari pembentangan tiba. Saya yang membentang dahulu. Saya takut dan di dalam hati saya, saya tidak henti-henti memujuk hati, memandang tepat kepada audien yang mula membanjiri seminar. Kami sama-sama mengucapkan selamat maju jaya.

Kawan arab saya menitipkan doa penenang dan pencerah hati.

Permulaan yang baik. Walaubagaimanapun di tengah-tengah saya dapat rasa suara saya bergetar dan termengah. Adakah suara saya terlalu kuat menyebabkan saya rasa macam sesak nafas? Oh saya rasa saya perlukan latihan fizikal utk stamina. Membentang pun perlu fizikal yang fit. Saya hanya berharap getaran itu tidak ketara. Bibir saya juga kering. Saya mengumpul kekuatan saya melalui semangat ingin menyampaikan, dan dari wajah-wajah pemberi semangat yang menaruh setinggi harapan supaya saya bertahan. Saya melawan semua kekusutan mental yang bersarang dan cuba bertenang menyebut dalam lidah asing. Akhirnya pembentangan berakhir.

Tepukan yang kuat. Saya tidak pasti itu tepukan semangat atau kerana pencapaian yang baik. Saya berharap keduanya.

Alhamdulillah.
Saya mendapat maklumbalas yang baik - walaupun saya tahu jika saya berpeluang melakukannya semula saya akan bunuh ketakutan itu sehabisnya. Untuk empat puluh minit seterusnya saya berhadapan dengan sesi soal jawab. Sesi soal jawab itu sangat berharga utk saya perbaiki mutu penyelidikan bagi tujuan penaiktarafan kelak.

Kawan saya juga telah melaluinya dengan jaya.
Kini kami mengatur untuk menyeberang jambatan yang seterusnya bersama.

2 comments:

S.L.A.S. said...

alhamdulillah...wish u good luck....

Fadhilah said...

terima kasih sya..ada dua lagi menanti dalam masa terdekat.