Sunday, January 15, 2012

Meneruskan Langkah



Satu lagi cabaran pembentangan telah saya lalui pada hari Rabu yang lalu. Sebagai tindakan susulan, saya perlu menambahbaik penulisan saya hasil maklumbalas membina yang diterima. Sungguhpun pembentangan dalaman itu rutin di jabatanku, yang pasti ia sesuatu yang besar bagi setiap pembentang yang mengambil giliran. Kami pasti menepuk bahu dan memberi kata semangat kepada pembentang pada setiap sesi. Ada yang menyatakan jika kita melakukan pembentangan dalam Seminar PhD di jabatan dan mock viva pada akhir pengajian serta melepasinya, peluang akan menjadi sangat cerah utk viva sebenar. Mudah-mudahan. Satu perkara lagi yang membakar semangatku ialah apabila mendapat tahu kawan yang baru sahaja bergraduasi telah berjaya menerbitkan tesisnya melalui penerbitan Kluwer. Alangkah besarnya kejayaan tersebut. Aku berdoa agar aku juga dapat menjejak langkah tersebut.

Misi selanjutnya ialah membuat persiapan terakhir utk ke persidangan di Germany dan menyudahkan penulisan bab yang amat mencabar saya ini.

Tuesday, January 03, 2012

Oh, salji tidak turun tahun ini...


Sudah beberapa hari saya tidak menjengah ke luar tingkap dan menyemak ramalan cuaca Dundee di laman web. Sekarang sudah masuk bulan Januari dan salji masih belum turun. Pada tahun lepas, salji turun seawal bulan November. Masih kuat di dalam ingatan saya kepingan salji yang turun dengan lebatnya dibawah sorotan lampu taman kampus. Ketika itu saya baru sahaja tamat kelas gantian. Terus saya keluarkan telefon bimbit saya mencari punat video untuk merakam saat yang istimewa itu. Terkial-kial saya cuba memadam beberapa rakaman lama untuk memuatkan yang baru. Taman yang sebelumnya dipenuhi rumput basah dan pokok-pokok tidak berdaunn itu berubah menjadi lanskap putih dari setiap penjuru dalam hanya sejam. Suasana menjadi senyap, hening dan damai. Litupan salji telah menyerap semua bunyi.Itulah suasana yang dirindui.

Rupa-rupanya,salji lebat pada tahun 2010 itu adalah yang terburuk dalam rekod beberapa dekad. Salji turun berhari-hari. Sekolah dan universiti terpaksa ditutup sementara. Hanya jalan-jalan utama sahaja yang beroperasi. Kereta kami tidak dapat dikeluarkan dari masjid. Arahan telah dikeluarkan oleh pihak council untuk berada di dalam rumah masing-masing.




Salji, seperti api, apabila kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Salji menjadi bahaya sekiranya kita tidak mengenakan pakaian yang cukup tebal dan sesuai. Tangan dan kaki mudah menjadi sejuk dan kejang (frost) jika terdedah kepada sejuk terlalu lama. Bahaya lain ialah ais beku (black ice) atas jalan yang menyukarkan pemanduan dan pejalan kaki. Begitu juga bahaya runtuhan salji (avalanche) dari bumbung bangunan atau tanah tinggi. Ais beku dan runtuhan salji lazimnya berlaku apabila salji mula mencair.

Salji pada lanskap Dundee adalah amat cantik. Pokok-pokok besar dan kecil, gunang-ganang, rumah dan jalan yang dilitupi salji menghasilkan pemandangan yang benar-benar berbeza dan segar. MasyaAllah.


Pada tahun ini, kami bercuti krismas di rumah sahaja. Tambahan pula, saya mempunyai beberapa tugasan yang perlu disiapkan sebelum menghadiri persidangan pada akhir bulan Januari. Ada target yang perlu dicapai sebelum musim bunga!