Wednesday, March 16, 2011

Kek tak semena-mena

Entah macam mana jadi sebijik kek kopi kacang walnut yang besar. Ada dua biji kek yang dilapiskan. Pagar coklat ditepi adalah utk menutup permukaan yang tidak rata. Maklumlah, saya belum ada spatula dan beg piping sendiri.


Adakah eksperimen ini akan disusuli dgn kek -kek lain?

Sunday, March 06, 2011

perpustakaan dan ofis sendiri

Demi mengekalkan momentum, saya gagahkan juga ke perpustakaan. Bukan senang hendak menukar mood hari ahad, lebih-lebih lagi selepas pulang dari carboot. Tapi, di dalam fikiran saya, idea sedang menari-nari, maka tidak wajarlah saya membiarkannya.

Alhamdulillah, ilham sebegini tidak dtg selalu.

Saya menanggalkan beg yang disandang untuk mencari tempat duduk yg kosong. Sambil-sambil itu saya juga menjenguk tempat fotostet kalau-kalau tiada orang. Saya memilih meja karel bersebelahan tingkap kaca besar.

Tetapi sejak bila pula perpustakaan jadi hiruk pikuk. Di sebalik meja karel kedengaran suara hembusan hingus sekuat hati setiap setengah minit. Di belakang saya pelajar cina tanah besar sedang berbual dengan rancaknya melalui telefon. Di sebelah kanan saya dua orang pelajar scottish ber skype menggunakan laptop. Dan nun di sebelah utara barat saya beberapa pelajar Afrika sedang berdebat sesuatu. Mujurlah saya boleh menelaah walaupun bingit begitu. Mungkin juga kerana saya sudah mula memahami undang-undang EU dalam konteks kerja saya yang selama ini sgt memeningkan kepala. Jika saya berada di rumah, sudah tentu saya sudah tidur atau bermain puzzle dengan muadz yang baru dapat dua set puzzle baru dari carboot.

Tidak mengapa, hari sabtu dan ahad sahaja saya berkemungkinan menelaah di perpustakaan (main library). Itupun jika tiada aktiviti komuniti atau aktiviti senggang lain. Hari-hari biasa saya berada di ofis pelajar PhD di bangunan berasingan ataupun di perpustakaan undang-undang. Di ofis kami, keadaan adalah amat berbeza. Sebatang pen sahaja jatuh, kami akan kata 'Sorry'. Jika ada telefon yang lupa dimatikan atau dimod senyapkan berbunyi, kami akan kata 'Sorry', dan terus keluar dari ofis tersebut.Jika ada perbincangan yg agak panjang, kami akan berbual di luar. Kadang-kadang, jika kami bersembang juga, akan kedengaran bunyi suara berbisik dan gelak-gelak kecil sahaja. Sudah tradisi begitu di ofis kami. Sehinggakan ada kawan kami berdengkur, dengkurannya terdengar begitu kuat sekali di dalam ofis itu. Oh ya, tidak lupa juga bunyi perut. Itu yang menyebabkan saya terpaksa pulang awal pada bulan puasa atau ganti puasa kerana perut berbunyi amat kuat. Ia tidak mengganggu orang, tapi saya yang tidak selesa apabila didengar orang. Di sini perut berbunyi adalah normal, mungkin kerana cuaca yang berangin. Untuk mengelakkannya, orang sini kata makan oat...dan kalau ikut sunnah nabi Muhammad s.a.w kunyah makanan betul-betul dan jangan makan terlampau laju, insyaAllah perut tidak kembung atau berangin.

Ofis kami buka juga pada hari sabtu dan ahad, tetapi orang tidak ramai dan koridornya gelap. Saya juga takut menggunakan lif, bimbang sangkut dan tiada orang yang dpt datang selamatkan.

DSC_0837


Saya telah berjaya memfotostet sebahagian buku yang diberi pinjam oleh penyelia saya. Ada lagi satu buku inter-library loan yang belum saya buat salinan. Kalau di Malaysia sudah tentu saya tinggalkan sahaja buku tu di kedai fotostet BBB dan kutip kemudian. Tak payah pening kepala. Di sini saya kena fotostet sendiri. Sangat letih. Kalau tak fotostet, bimbang pula buku itu diperlukan lagi dan nak pinjam semula melalui interlibrary loan susah pula. Saya amat berterimakasih kepada penyelia saya yang tidak pernah lokek memberi pinjam buku. Saya tidak minta, dia yang sungguh-sungguh suruh saya rujuk.

Sampai sahaja di rumah, saya buka peti dan keluarkan smoked makarel. Saya bakar smoked makarel tu dan buat air asam. Lepas tu makan dgn nasi panas-panas....sedapnya masha allah.

Wednesday, March 02, 2011

Crossing the bridge first

Semasa hendak membuat keputusan ke UK, macam-macam perkara yg kami ambil kira..seperti macam mana kalau seniority hilang, macam mana kalau tak sambung belajar dua-dua...tapi apabila surat tawaran ke UK datang, suami saya kata, insyaAllah ada hikmahnya dan untuk sekarang kita seberang jambatan ini dulu ( 'cross the bridge first'). Itulah yang kami lakukan.

Kita memang tidak dapat meramal masa hadapan, kita hanya mampu merancang.

Kalau kita berasa takut dengan satu benda yang besar di hadapan kita, kita seberang dulu jambatan berdekatan kita.

Dan InsyaAllah, semuanya disandarkan kepada Allah s.w.t.

Hari ini saya telah menyeberangi satu jambatan. Saya telah membuat pembentangan penyelidikan saya di dalam seminar PhD. Seminar ini diadakan setiap dua minggu. Dan pada setiap dua minggu kami akan mengucapkan selamat maju jaya kepada pembentang. Biasanya yang membentang akan terus melangkah ke peringkat seterusnya samada untuk tujuan penaiktarafan status pelajar atau viva. Dan pada setiap dua minggu itu saya membayangkan diri saya di tempat pembentang.

DSC_0783

Dengan hati yang tekad saya menetapkan tarikh saya untuk pembentangan sebulan awal. Saya tahu saya tidak akan bersedia jika tarikh tidak ditentukan. Kawan saya dari Iran yang daftar sbg pelajar lebih awal dari saya mengucapkan terima kasih kerana dia juga telah mendapat semangat untuk menetapkan tarikh selepas melihat saya berbuat demikian. Bagus juga kerana saya ada kawan untuk sama-sama memberikan motivasi. Dan itulah yang berlaku dalam masa sebulan itu. Kami pastikan kami berjumpa dengan kedua-dua penyelia kami dan kami bertukar-tukar pandangan mengenai penyelidikan masing-masing. Saya telah membuat pembentangan olok-olok dan dirakamkan, dia juga melakukannya, malahan dia telah sempat menjemput kawan-kawan lain dari pusat lain yang telah memberikan maklumbalas yang sangat bernas. Saya tidak sempat berbuat demikian.

Hari pembentangan tiba. Saya yang membentang dahulu. Saya takut dan di dalam hati saya, saya tidak henti-henti memujuk hati, memandang tepat kepada audien yang mula membanjiri seminar. Kami sama-sama mengucapkan selamat maju jaya.

Kawan arab saya menitipkan doa penenang dan pencerah hati.

Permulaan yang baik. Walaubagaimanapun di tengah-tengah saya dapat rasa suara saya bergetar dan termengah. Adakah suara saya terlalu kuat menyebabkan saya rasa macam sesak nafas? Oh saya rasa saya perlukan latihan fizikal utk stamina. Membentang pun perlu fizikal yang fit. Saya hanya berharap getaran itu tidak ketara. Bibir saya juga kering. Saya mengumpul kekuatan saya melalui semangat ingin menyampaikan, dan dari wajah-wajah pemberi semangat yang menaruh setinggi harapan supaya saya bertahan. Saya melawan semua kekusutan mental yang bersarang dan cuba bertenang menyebut dalam lidah asing. Akhirnya pembentangan berakhir.

Tepukan yang kuat. Saya tidak pasti itu tepukan semangat atau kerana pencapaian yang baik. Saya berharap keduanya.

Alhamdulillah.
Saya mendapat maklumbalas yang baik - walaupun saya tahu jika saya berpeluang melakukannya semula saya akan bunuh ketakutan itu sehabisnya. Untuk empat puluh minit seterusnya saya berhadapan dengan sesi soal jawab. Sesi soal jawab itu sangat berharga utk saya perbaiki mutu penyelidikan bagi tujuan penaiktarafan kelak.

Kawan saya juga telah melaluinya dengan jaya.
Kini kami mengatur untuk menyeberang jambatan yang seterusnya bersama.