Saturday, December 08, 2012

Musim Panas di Paris

Oh, malas sungguh rasanya untuk menulis blog. Tapi mengenangkan beberapa pengalaman yang mungkin akan pudar dengan peredaran waktu ada baiknya saya mencoretkan disini. Bagus juga dijadikan panduan bagi mereka yang berminat menjejak pengalaman yang sama. Paris, here I come!
Pada bulan Julai yang lalu, saya telah menyertai sebuah akademi perbitaraan antarabangsa di Paris selama sebulan. Pada mulanya saya hanya mencuba nasib, tetapi apabila difikirkan mengapa tidak saya cuba memohonnya bersungguh-sungguh?Segala dokumen yang diminta saya sediakan. Tak ubah seperti memohon tempat pengajian. Banyak sungguh maklumat yang diminta. Saya juga memohon biasiswa dengan menyatakan seribu satu alasan mengapa saya mesti ditaja.
Alhamdulillah saya beroleh tempat dan biasiswa pelepasan yuran (walaupun tidak dpt biasiswa penuh). Ada beberapa rakan yang lain yang tidak berjaya memperoleh biasiswa. Mereka akhirnya tidak dpt turut serta kerana yurannya sahaja sudah 900 euro. Sebahagian perbelanjaan diberi oleh universiti.
Berdebar juga mengenangkan tiada teman atau kenalan di Paris. Tambahan pula tidak tahu berbahasa perancis. Ah, fikir saya lagi, jika tidak tahu perancis atau berbahasa perancis, inilah peluangnya utk berbuat demikian (walaupun hakikatnya saya tak sempat mempelajari bahasa perancis sebaiknya sepanjang di Paris- jadual terlampau penuh dan banyak pembacaan yang perlu dibuat!).
Menurut jadual akademi yang saya terima, lokasi kuliah adalah berbeza setiap hari. Saya masih ingat lagi yang saya terpaksa bergegas pulang ke asrama utk memakai pakaian formal dan menaiki metro ke lokasi lain berdasarkan alamat yang diberi.Jika bernasib baik saya berjumpa dgn rakan kursus yang lain, jika tidak terpaksalah saya bersendirian. Suami sentiasa berpesan supaya berhati-hati dan berdoa - beg saya dakap rapat, dan peta metro saya simpan dua tiga jika hilang. Mencabar, memang mencabar.
Justeru lokasi tempat penginapan adalah sangat penting. Saya dapati Cite Universitaire adalah tempat yang paling sesuai dan selamat. Ia terbuka kpd pelajar antarabangsa yang mengikuti apa-apa kursus di Paris. Sekali lagi saya membuat permohonan - persaingan adalah sengit kerana saya tahu seramai seratus lebih orang peserta akademi lain ingin mendapatkan tempat di situ juga! Permohonan dibuat sebaik sahaja saya memperoleh jawapan dari akademi dan akhirnya saya mendapat penginapan di rumah sweden.
Di Cite Universitaire, bukan sahaja penginapannya lebih murah, ia juga berdekatan dengan stesen metro, lokasi-lokasi kursus dan yang paling penting ada dapur sendiri. Maka kehidupan saya di Paris menjadi begitu teratur sebagai seorang pelajar di asrama dan segala peraturannya.
Bekal ke akademi.
Bilik di rumah Sweden.
Ruang legar rumah Sweden.
Di akademi saya menimba pelbagai pengalaman baru. Melihat profil pelajar yang lain. Mengagumi semangat mereka. Mendengar pandangan mereka. Dalam masa yang sama juga saya membawa imej negara saya, agama saya dan universiti saya.
Dari segi isikandungan kursus, ia merangkumi ruang lingkup perbitaraan antarabangsa yang luas - memuatkan perbitaraan berinstitusi seperti ICSID, ICC dan SCC.
Ini adalah pengalaman yg amat berharga dlm perjalanan sebagai seorang pelajar.